PUNCA PELAJAR 'MENGHISAP VAPE'

 Terpengaruh rakan antara alasan pelajar hisap vape

Terpengaruh rakan sebaya antara alasan yang diberikan pelajar bawah umur terlibat dengan gejala merokok dan rokok elektronik. Selain pemantauan oleh ibu bapa dari rumah dilihat bersikap acuh tidak acuh didakwa menjadi punca mereka berani mencuba bahan tersebut.

Justeru, Rang Undang-Undang RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dilihat satu langkah yang dapat membendung gejala tidak sihat itu.


Semalam, Dewan Negara dimaklumkan, lebih 43 ribu pelajar sekolah menengah dan 341 murid sekolah rendah dikesan terlibat dengan gejala merokok. Dapatan itu diperoleh selepas Kementerian Kesihatan KKM membuat saringan terhadap 1.3 juta pelajar sekolah menengah dan dua juta murid sekolah rendah menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK), tahun lalu.


Ada antara mereka mengaku terjebak dengan gejala itu disebabkan pergaulan tidak sihat dan tanpa pengetahuan ibu bapa.


“Ada ramai kawan-kawan yang menghisap rokok. Lebih dari 10 orang. Mereka beli guna duit belanja sekolah, dan ada antara mereka yang merokok dalam sekolah.” kata Kai, Pelajar Sekolah Menengah.


“Ya saya hisap selepas tengok ramai kawan-kawan hisap. Saya tak beli barang vape, tetapi saya minta kawan punya. Ibu bapa saya tahu.” kata Alep, Pelajar Sekolah Menengah.


Bagi orang ramai, perkara tersebut perlu ditangani dengan proaktif kearah pembentukan masyarakat yang lebih baik.


“Tidak wajar, mereka masih sekolah dan pendapatan pun tiada mengharapkan mak bapak, ia perlu ditangani sebab gejala ini cepat merebak. kawan ikut kawan. Sekarang ini vape, bahayakan. Satu hari nanti mereka cuba sesuatu yang kita tak tahu kan.” kata Faizah Abdul Rahim, Suri Rumah.


Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin berkata RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dilihat usaha yang dapat membendung penggunaan tembakau dan rokok elektronik terutama dalam kalangan remaja di negara ini.


“Kita harap RUU ini akan diluluskan secepat mungkin untuk diluluskan adalah kerana macam semalam data perokok dalam remaja sangat tinggi dan makin tinggi juga peratusan e-rokok dalam kalangan remaja dan kanak-kanak jadi RUU ini perlu dibentangkan dengan cepat mesti diluluskan dan perlu mendapat sokongan bukan sahaja dari sektor kesihatan tetapi mesti disokong semua ahli parlimen dan menteri kabinet.” ujarnya.


Justeru, hasrat kerajaan untuk mencapai dasar Generation End Game (GEG) atau generasi penamat perlu mendapat sokongan semua pihak.


Ini termasuk ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dengan menunjukkan tauladan dan membimbing mereka supaya tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat itu.



No comments:

Post a Comment